Dr. Jeffrey Lang : Professor matematik yang menyerah diri kepada Islam

VIDEO – [Durasi – 36m 55s] – Dr Jeffrey Lang – My Journey to Islam

Jeffrey Lang : Professor matematik yang menyerah diri kepada Islam

BIDANG matematik dan sains bersifat logikal. Angka-angka dan fakta amat penting untuk mendapat suatu jawapan yang tepat. Bukan mudah bagi seseorang yang mindanya telah terlatih menerima idea-idea yang berasaskan fakta untuk mempercayai sesuatu agama kerana kebanyakan agama perlu diterima hanya berdasarkan keyakinan.

Inilah yang dirasai seorang profesor matematik dari Universiti Kansas, Amerika Syarikat, Dr. Jeffrey Lang.

Dr. Jeffrey Lang dilahirkan pada 30 Januari, 1954 di Bridgeport, Connecticut, Amerika Syarikat di dalam keluarga yang berfahaman Roman Katolik. Sehingga usia 18 tahun, Jeffrey mendapat pendidikan di sekolah-sekolah Katolik. Bagaimanapun, beliau masih tidak menemui jawapan untuk banyak persoalan berkaitan tuhan.

Seperti kebanyakan anak-anak muda pada tahun-tahun 60-an dan awal 70-an, Jeffrey mempersoalkan semua nilai-nilai politik, sosial dan agama pada waktu itu.

Apabila usianya meningkat 18 tahun, Jeffrey langsung tidak mempercayai kewujudan tuhan. Dia menjadi seorang ateis.

Jika benar tuhan wujud dan sifatnya pula maha pengasih dan maha penyayang, mengapa di dunia ini wujud kesengsaraan? Mengapa dia tidak masukkan kita semua ke dalam syurga? Mengapa dia ciptakan manusia untuk hidup merana? Inilah antara soalan-soalan yang sering bermain dalam fikirannya ketika itu.

Jeffrey tidak menemui jawapan kepada soalan-soalan tersebut sehinggalah menjadi seorang pensyarah matematik di Universiti San Francisco. Di universiti itu, Jeffrey menemui agama yang dicari-carinya, agama yang mengajarnya bahawa kewujudan tuhan itu adalah suatu realiti.

Ketika itu, Jeffrey dan beberapa orang kawan Muslimnya di universiti tersebut sering berbincang mengenai agama. Apabila beliau mengemukakan soalan-soalan skeptikalnya itu, Jeffrey terkejut dengan jawapan-jawapan yang mereka berikan.

Jeffrey kemudian menemui Mahmoud Qandeel, seorang pelajar dari Arab Saudi yang segak dan fasih berbahasa Inggeris.

Hubungan Jeffrey dengan Qandeel menjadi erat, dan mereka banyak meluangkan masa bersama. Akhirnya Qandeel menghadiahkan Lang senaskhah al-Quran dan beberapa buah buku berkaitan Islam.

Secara bersendirian, Jeffrey membaca al-Quran tersebut. Jeffrey tertarik dengan kandungannya dan dapat merasakan keindahan Islam. Segala persoalannya tentang tuhan dan kewujudan alam ini terjawab di dalam al-Quran.

Tanpa rasa ragu-ragu, suatu hari Jeffrey melangkah ke dewan sembahyang universiti tersebut yang dikendalikan oleh para pelajar. Boleh dikatakan, Jeffrey ‘menyerah diri’ kepada agama Islam tanpa banyak keraguan.

Jeffrey cukup terpesona dengan al-Quran, terutama dua surah terawalnya, yang digambarkannya seperti “Pelukis boleh melukis mata di dalam sebuah potret yang seolah-olah mengekori anda. Tetapi pengarang mana yang boleh menulis sebuah kitab yang mendahului perubahan-perubahan dalam kehidupan seharian anda?

“Setiap malam saya akan memikirkan pelbagai soalan serta sanggahan dan menemui jawapannya pada keesokan hari. Seolah-olah pengarang kitab itu membaca idea-idea saya, dan menulisnya dalam baris-baris yang sesuai, tepat pada waktunya apabila saya meneruskan pembacaan. Apabila saya membaca halaman demi halamannya, saya akhirnya mengenali diri sendiri…”

Sungguhpun Jeffrey tidak memahami bahasa Arab, tetapi beliau tetap merasakan membaca kitab suci itu suatu pengalaman yang mempesonakan, seperti seorang bayi yang dibuai oleh dodoian ibunya.

Bagi Jeffrey, bacaan al-Quran memberinya ketenangan dan kekuatan, terutama pada waktu beliau menghadapi kesulitan. Solat lima waktu pula memberikannya kepuasan spiritual.

Di kalangan komuniti Muslim di AS, nama Dr. Jeffrey Lang memang dikenali. Beliau telah menulis beberapa buku mengenai Islam, termasuk Even Angels Ask; A Journey to Islam in America. Dalam buku ini, beliau berkongsi pengalaman dengan para pembaca pelbagai penyelesaian yang ditemui dalam Islam.

Sumber – https://utusantv.com/2021/04/26/jeffrey-lang-professor-matematik-yang-menyerah-diri-kepada-islam/

Advertisement

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s